Total Pageviews

Thursday, May 4, 2017

DIET BAGI PENYAKIT HATI BERLEMAK


Pengenalan
Hati adalah organ yang paling aktif di dalam tubuh. Ia terletak di bahagian atas abdomen sebelah kanan.

Definisi Hati Berlemak
Hati berlemak adalah pengumpulan lemak di dalam tisu hati. Hati berlemak biasa berlaku dan kebanyakan orang yang mempunyai hati berlemak tidak menunjukkan sebarang simptom dan komplikasi.
Walau bagaimanapun, sekiranya penyakit ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan hati menjadi radang dan seterusnya boleh berlaku kerosakan hati.
Rajah 1 : Perbezaan hati normal dengan hati berlemak.
Berbanding hati normal, saiz hati yang berlemak adalah lebih besar dan mempunyai kurang warna. Tisu hati ini menunjukkan berlakunya pengumpulan lemak.

Jenis-jenis Hati Berlemak
1)  Hati berlemak bukan alkohol (Non-alcoholic fatty liver)
  • Ia disebabkan oleh pengumpulan lemak di dalam hati dan bukan disebabkan oleh pengambilan alkohol  secara berlebihan.
  • Penghidap hati berlemak biasanya tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap hati berlemak.




Hati berlemakNon-Alcoholic Steatohepatitis (NASH)Sirosis
Lemak berkumpul pada hatiLemak berserta radang dan parut pada hatiTisu berparut menggantikan sel hati
 Rajah 2 : Proses kerosakan hati berlemak bukan alkohol.

2)  Hati berlemak beralkohol (Alcoholic fatty liver)
  • Ia disebabkan oleh pengambilan minuman beralkohol secara kronik dan berlebihan .
    >>>  Pengambilan alkohol berlebihan adalah lebih 4 cawan sehari bagi lelaki. Manakala, bagi perempuan adalah lebih daripada 3 cawan sehari.
  • Faktor genetik atau keturunan juga boleh menyebabkan alcoholic fatty liver.
    >>>  Ini disebabkan berlakunya ketagihan alkohol sehingga menjejaskan enzim hati (ALT, ALP dan AST) yang terlibat dalam metabolisma (pemecahan) makanan di dalam hati.

Punca Hati Berlemak Bukan Alkohol (Non-Alcoholic Fatty Liver)
Hati berlemak terhasil daripada  ketidakseimbangan penghasilan lemak yang berlebihan dan penyingkiran lemak yang kurang dalam darah. Seterusnya, berlaku pengumpulan lemak di dalam hati.
Punca-punca tersebut adalah :
  • Hiperkolesterolemia (aras kolesterol tinggi dalam darah)
  • Hipertrigliseridemia (aras trigliserida tinggi dalam darah)
  • Sindrom metabolik – pesakit mempunyai 3 atau lebih penyakit :
    >>>  Ukur lilit pinggang – perempuan lebih 80cm atau lelaki lebih 90cm
    >>>  Diabetes Mellitus
    >>>  Hipertensi
    >>>  Penyakit jantung
  • Obesiti – mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih daripada 30kg/m2
  • Diabetes Mellitus (Kencing Manis).

Tanda-tanda
Ramai pesakit hati berlemak tidak menyedari akan tanda-tanda penyakit tersebut. Tanda-tanda penyakit hati berlemak adalah :
  • Pembesaran hati (Hepatomegali)
  • Rasa tidak selesa di bahagian atas kanan abdomen
  • Keletihan.

Ujian Makmal
Aras enzim hati digunakan untuk mengenal pasti hati berlemak. Hati berlemak adalah penyebab utama aras enzim hati di dalam darah tidak normal.
Enzim hati adalah :
  • Alkaline Phosphatase (ALP)
  • Alanine Transaminase (ALT)
  • Aspartate Transaminase (AST).
Ujian makmal lain untuk menentukan hati berlemak adalah :
  • trigliserida
  • kolesterol LDL
  • kolesterol HDL
  • kolesterol total, dan
  • glukosa dalam darah.
Jadual di bawah adalah aras normal bagi ujian yang digunakan untuk mengesan hati berlemak :
Ujian MakmalAras Normal
Alanine Aminotransferase (ALT)
Lelaki          : 0 – 40 U/L
Perempuan : 0 – 3 U/L
Alkaline Phosphatase (ALP)
Lelaki          : 53 – 128 U/L
Perempuan : 42 – 98 U/L
Aspartate Transaminase (AST)
Lelaki          : 0 – 40 U/L
Perempuan : 0 – 31 U/L
Glukosa dalam darah
Gula darah berpuasa (FBS)
Gula darah tidak berpuasa (RBS)

3.8 – 6.0 mmol/L
7.8 – 11.1mmol/L
Total Cholesterol (T Chol)≤ 5.2mmol/L
LDL Cholesterol (LDL-C)≤ 3.4 mmol/L
HDL Cholesterol (HDL-C)
Lelaki           : 0.9 – 1.45mmol/L 
Perempuan  : 1.15 – 1.68 mmol/L
Trigliserida (TG)≤ 2.3 mmo/L



Pengurusan Diet
Terapi pengurusan diet yang digunakan adalah bergantung kepada punca berlakunya hati berlemak tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya penyakit hati berlemak adalah disebabkan oleh kolesterol yang tinggi dalam darah, maka dengan kawalan diet dan aktiviti fizikal dapat mengurangkan tahap hati berlemak dan risiko sakit jantung atau strok.
1)  Mengubah diet kepada yang lebih sihat
  • Kurangkan pengambilan makanan berlemak dan kolesterol tinggi tetapi mengambil makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini dapat membantu dalam mengurangkan lemak dalam hati.

2)  Mengurangkan berat badan
  • Pesakit hati berlemak yang obes atau mempunyai lebihan berat badan digalakkan untuk menurunkan berat badan secara perlahan.
  • Penurunan berat badan yang digalakkan adalah antara 3 hingga 10 % daripada berat badan asal.
  • Ini dapat membantu mengurangkan jumlah lemak  dalam sel hati dan mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
  • Sebagai contoh, sekiranya berat badan pesakit adalah 80 kg, maka penurunan berat badan  adalah antara 2.4 kg  hingga 8 kg.
3)  Meningkatkan aktiviti fizikal
  • Senaman digalakkan untuk pesakit hati berlemak kerana dapat membantu mengurangkan berat badan, kawalan kolesterol dan gula dalam darah.
  • Pesakit digalakkan untuk bersenam selama 30 hingga 40 minit iaitu 3 hingga 4 kali seminggu.
4)  Mengawal gula dalam darah
  • Kawalan gula dalam darah adalah penting terutamanya kepada pesakit Diabetes Mellitus. Sila patuh preskripsi  ubat dan arahan yang telah diberikan oleh doktor anda.

5)  Mengawal pengambilan alkohol
  • Bagi hati berlemak bukan alkohol, kurangkan pengambilan minuman alkohol. Bagi hati berlemak beralkohol (alcoholic fatty liver) dikehendaki untuk berhenti mengambil minuman alkohol.

Kesimpulan
Pengurusan diet bagi pesakit hati berlemak  bergantung kepada punca  penyakit tersebut sama ada masalah berlebihan berat badan, obesiti, kolesterol tinggi dalam darah, sindrom metabolik atau pengambilan alkohol yang berlebihan. Oleh itu, pesakit perlulah mematuhi diet yang telah ditetapkan untuk mengurangkan lemak dalam tisu hati.