Kanser payudara
terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia
menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul,
pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk
kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh
membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.
Kanser payudara
meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita.
Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan
merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di
sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara
sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.
Pengkelasan Kanser Payudara
Kanser payudara
dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa
diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau
histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status
nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi
asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis
(penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak
ke kawasan terpencil di dalam badan.
Simptom atau Tanda-tanda Kanser Payudara
Pembentukan gumpulan
merupakan tanda atau simptom biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang.
Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda-tanda atau simptom
lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan
satu lagi tanda kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang
seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa
kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit
akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.
Tanda-tanda lain
mungkin terjadi gumpulan di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan
bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara
mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing
ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal.
Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda-tanda seperti demam,
seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, simptom neurologi dan
curahan (efusi) pleura. Masalahnya adalah tanda-tanda awal kanser payudara
mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat
diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara
setiap tahun.
Punca Kanser Payudara
Setakat ini tiada siapa yang benar-benar pasti apa punca kanser
payudara. Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kanser payudara termasuk
sejarah kanser dalam keluarga, umur, genetik, pil perancang keluarga, berat
berlebihan dan gaya hidup kurang aktif. Menurut Dr.
Joseph Mercola, antara punca utama kanser payudara adalah kekurangan
nutrien dan pendedahan kepada pencemaran alam sekitar. Institut Penyelidikan
Kanser Amerika menganggarkan bahawa kira-kira 40 peratus daripada kes kanser
payudara di Amerika boleh dicegah jika orang ramai membuat pilihan gaya hidup
yang lebih bijak.
Peringkat Kanser Payudara
Untuk mendiagnosis
kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara.
Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan
(proliferasi).
Peringkat 0 atau tumor
kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser
payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau
LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma
duktal insitu atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam
duktus payudara.
Peringkat I merujuk
kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor
kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak. Peringkat II juga merujuk
kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2
hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau
kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.
Peringkat III ialah di
mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak
ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa
ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka
atau tulang dada.
Peringkat IV merujuk
kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan
dada.
Kaedah dan Pilihan Rawatan
Rawatan bergantung
kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Berbincanglah dengan doktor anda
untuk pilihan rawatan yang sesuai dengan anda atau pesakit berkenaan. Pilihan
rawatan umum untuk kanser payudara adalah pembedahan, terapi radiasi,
kemoterapi, terapi hormon dan terapi sasaran.Sebelum membuat apa-apa keputusan
mengenai pilihan rawatan, pastikan keputusan biopsi diteliti dahulu oleh pakar
yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan luas tentang kanser payudara.
Terdapat juga rawatan
alternatif seperti penggunaan dos tinggi vitamin D dan mengambil makanan yang
mempunyai nutrien tertentu. Ada juga yang menggunakan homoeopathy sebagai
rawatan alternatif.
No comments:
Post a Comment